273 Pelajar, 3 Guru Menjadi Mangsa Pencemaran Semalam

PASIR GUDANG – Seramai 273 pelajar dan tiga guru dari 27 buah sekolah di sini yang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas akibat pencemaran udara semalam.

Jumlah tersebut melibatkan 27 buah sekolah iaitu 16 sekolah kebamgsaan (SK) dan 11 sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Antaranya SK Taman Pasir Putih, SK Kopok, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sungai Plentong, SK Ulu Tiram, SK Sungai Tiram, SK Taman Bukit Dahlia dan SK Taman Molek.

Ini temasuk SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang 3, SMK Desa Jaya, SMK Kota Masai, SMK Taman Megah Ria, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan SMK Taman Nusa Damai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, daripada 273 mangsa itu, selepas mendapat rawatan dan direhatkan, hanya 101 orang dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai.

“Seramai 101 ini mendapatkan rawatan saringan dan daripada jumlah ini, hanya 10 orang atau 4 peratus dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz.