Cadangan Ambil Pekerja Asing Warga Afrika Ditarik Balik

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menarik balik cadangan membawa masuk pekerja asing dari Afrika bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam sektor peladangan kelapa sawit.

Keputusan tersebut dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menegaskan tiada keperluan untuk mengimport pekerja dari Afrika.

“Oleh sebab perdana menteri berkata tidak ada keperluan membawa pekerja dari Afrika, maka saya akan memaklumkan kepada pemilik ladang bahawa keseluruhan cadangan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia digugurkan,” kata Kula Segaran dalam kenyataan yang dilaporkan portal FMT.

Mengulas lanjut, Kula berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai perkara itu dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kontroversi.

Kula berkata, cadangan itu timbul dalam sesi bertemu pemilik ladang di Cameron Highlands yang memberitahu bahawa mereka berdepan masalah kekurangan pekerja.

Mereka seterusnya mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan kemungkinan mengambil pekerja dari Afrika, terutama dari negeara di mana Malaysia membuat pelaburan.

“Ia kelihatan seperti cadangan yang munasabh berlatarbelakangkan masalah kekurangan pekerja di estet di Malaysia,” kata Kula.

“Dalam konteks sesi pertemuan inilah saya timbulkan idea bahawa kerajaan mungkin perlu melihat ke Afrika bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di sektor peladangan di negara ini.

“Dalam pada itu turut ditimbulkan ialah keperluan mendapatkan kelulusan Kabinet mengenai cadangan itu. Ia tidak berlaku pun.”

Kula berkata, pemilik estet menganggarkan kerugian kira-kira RM10 bilion setahun akibat buah tidak dipetik kerana kekurangan pekerja.

Katanya, buah kelapa sawit perlu dipetik dalam tempoh 21 hari selepas masak, dan masalah kekurangan pekerja untuk memetiknya menyebabkan berlakunya lambakan.

Beliau berkata, pemilik estet juga memberitahu bahawa pekerja dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Vietnam tidak lagi berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit, sebaliknya lebih cenderung kepada pekerjaan lain yang enggan dilakukan oleh rakyat Malaysia.