Isu Tabung Haji: Menteri Dilabel Cap Ayam!

KUALA LUMPUR – Seperti kebiasaan, isu Lembaga Tabung Haji kembali menjadi pertikaman lidah antara pembangkang dan kerajaan ketika soalan mengenai agensi mengurus ibadat haji itu dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Keadaan kecoh bermula apabila Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) bertanyakan soalan tambahan kedua sama ada kerajaan bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kepincangan dalam Tabung Haji.

Bagaimanapun ketika menjawab soalan, Mujahid menjelaskan kekeliruan mengenai Tabung Haji hanya berlaku dalam kalangan pembangkang dan mendakwa masalah manipulasi perakaunan hanya diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Jawapan beliau mengundang rasa tidak puas hati pembangkang terutama bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mengganggap Mujahid memberikan jawapan politik.

Abdul Azeez malah memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof untuk memberikan soalan tambahan namun tidak dilayan.

Perang mulut sesama mereka berakhir dengan Mujahid disindir oleh pembangkang dengan gelaran cap ayam. – UTUSAN ONLINE