KBS Henti Bantuan Pentadbiran Majlis Belia?

SUBANG JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa telah membuat keputusan untuk menghentikan bantuan dan peruntukan pentadbiran yang sebelum ini disalurkan kepada majlis belia negeri dan daerah di seluruh negara.

Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor (MBS), Syafiq Ridzwan Jamaluddin mendakwa, keputusan itu dicapai dalam satu perbincangan antara Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan Setiausaha Kerja KBS, baru-baru ini.

“Saya difahamkan baru-baru ini ada perbincangan antara Majlis Belia Malaysia dan SUK KBS.

“Selepas ini tiada lagi bantuan pentadbiran kepada majlis belia negeri dan majlis belia daerah seluruh Malaysia,” katanya berucap pada Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Selangor 2019 di Summit USJ, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Syafiq Ridzwan juga berkata, susulan keputusan terbaru KBS itu, pihaknya menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan kepada majlis belia negeri dan daerah bagi meneruskan agenda pemerkasaan belia.

“Saya dengan rendah hati memohon bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu kami untuk menggerakkan agenda pemerkasaan dan penyerlahan potensi belia di Selangor.

“Kalau kita tengok di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang, di mana menteri-menteri mereka mengumumkan RM100,000 kepada majlis belia negeri masing-masing.

“Dua hari lepas Menteri Besar Terengganu mengumumkan peruntukan RM1.4 juta untuk pembangunan belia di Terengganu. Tapi kami di Majlis Belia Selangor tak ada laa mintak sampai RM1.4 juta,” katanya.

Syafiq Ridzwan turut menggesa Kerajaan Negeri Selangor membenarkan majlis belia itu kembali dan beroperasi semula di bangunan Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam.

“Kalau boleh cukuplah untuk kami sekadar agar kami kembali ke rumah yang lama kita tinggalkan iaitu Kompleks Belia dan Kebudayaan di Sekysen 7.

“Sejak 10 tahun lepas di situlah kami beroperasi, selepas itu kami terpaksa keluar dari Kompleks Belia dan bergerak secara kecil-kecilan,” katanya.

Dalam pada itu, sejak Kerajaan Negeri Selangor diambil alih oleh Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 dan kini Pakatan Harapan (PH), usaha pembangunan belia terpisah kepada dua dan ia telah menjejaskan masa depan belia.

“Setelah hampir sedekad kita sedia maklum, agenda pemerkasaan belia Selangor terpisah kepada dua. Dengan sambutan Hari Belia Peringkat Selangor 2019 merupakan peluang terbaik untuk kita kembali sinergi dan bekerjasama.

“Ia untuk memastikan setiap belia Selangor, setiap segmen anak-anak dan belia di Selangor diperkasa dan diserlahkan potensinya ke tahap maksimum,” katanya.

Dakwanya, potensi belia terjejas dapat dilihat berdasarkan kepada Indeks Belia Malaysia 2015 yang mencatatkan Selangor di tahap sederhana dengan skor 69.55.

“Antaranya domain kesihatan mencatatkan skor kurang memuaskan, domain kesihatan tahap ekonomi meletakkan skor yang juga kurang memuaskan manakal domain sosiolasi politik pula meletakkan belia Selangor pada skor yang tidak memuaskan.

“Sekarang adalah peluang untuk kita sama-sama kembali sinergi dan bekerjasama untuk memastikan skor ini dalam dalam Indeks Belia Malaysia 2020 akan meningkat ke tahap lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MBS turut menyenaraikan tiga cadangan untuk dipertimbangkan Kerajaan Negeri Selangor bagi memperkasakan semua segmen belia di negeri itu.

“Kita mencadangkan agar mewujudkan program briged muda seperti mana telah kita bentangkan di dalam Majlis Perundingan Belia Negeri Selangor.

“Kita cuba untuk menjalankan program Jelajah Keusahawanan Belia dan Desa untuk pastikan keusahawan dapat kita capai.

“Kita juga merancang untuk mewujudkan Dewan Muda Selangor di mana di Malaysia kita ada Parlimen Belia Malaysia, tapi di Selangor kita wujudkan Dewan Muda Selangor untuk melatih dan mengasah bakat-bakat kepimpinan yang ada pada belia-belia di Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette