Lelaki Maut Dihempap Batu Di Kawasan Kuari

IPOH – Seorang lelaki maut selepas dia dihempap batu besar di kawasan kuari di Sungai Raia, Keramat Pulai di sini hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Loi Thiam Fatt, 56, ketika itu sedang melakukan kerja-kerja memecah batu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.47 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi, anggota dimaklumkan terdapat seorang mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan batu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan namun dia disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.