Mekanisme Baharu Ganti Kad Subsidi Petrol?

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka akan menggunakan mekanisme baharu bagi menggantikan cadangan penggunaan kad subsidi seperti dilaporkan sebelum ini.

Memetik laporan The Malaysian Insight, subsidi berbentuk wang akan dimasukkan secara terus ke akaun individu yang layak menerima bantuan tersebut.

Usul baharu itu dipercayai akan dibentangkan minggu depan dalam mesyuarat Kabinet untuk kelulusan dan dijangka dilaksanakan di seluruh negara seawal hujung bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, pihaknya sedang meneliti pemberian kad subsidi petrol RON95 kepada golongan yang betul-betul layak sebagai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol secara bersasar.

Kaedah dikemukakan bagi melaksanakan cadangan tersebut adalah penerima yang layak perlu menunjukan kad tersebut sebelum mengisi minyak bagi membolehkan mereka menikmati subsidi petrol. – UTUSAN ONLINE