Menteri Bentang Usul Isytihar Harta Menjelang 1 Oktober

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong hari ini membentangkan usul yang mewajibkan semua ahli Parlimen bersama pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset masing-masing menjelang 1 Oktober ini.

“Mereka yang memalsukan aset mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya ketika membaca usul itu di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, langkah itu sejajar prinsip akauntabiliti dan ketelusan serta kerajaan komited menghapuskan rasuah dalam negara ini.

“Anggota pentadbiran dan ahli Parlimen kerajaan telah mengisytiharkan harta mereka dalam akuan berkanun sebagaimana terkandung dalam kod etika bagi anggota pentadbiran dan ahli Parlimen yang telah dipaparkan dalam portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

Liew berkata, semua ahli Parlimen dan ahli keluarga mereka perlu mengisytiharkan harta dan dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat dan SPRM dalam masa 3 bulan dari tarikh usul itu diluluskan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mengemukakan usul mengisytiharkan harta di Dewan Rakyat kerana semua wakil rakyat mempunyai pengaruh.

“Semua akan isytihar harta mereka kerana pembangkang pun ada pengaruh, jadi kita tak harus guna pengaruh kita untuk mendapatkan bayaran.”

Sebelum ini, semua ahli Parlimen PH dikehendaki mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka kepada SPRM. – FMT