Muafakat Kunci Kekuatan, Positif Atas Satu Matlamat – Zahid

KUALA LUMPUR – “Muafakat kunci kekuatan, kami positif atas satu matlamat satu perjuangan.”

Itulah kata-kata keramat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas bertemu dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan di Pejabat Presiden UMNO, Menara Dato’ Onn hari ini.

Ahmad Zahid menerusi ciapan dalam laman Twitter dan Instagram rasminya hari ini menarik perhatian ramai dengan memuat naik gambar pertemuan beliau dengan Mohamad.

Kemesraan yang ditonjolkan kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO jelas kelihatan dalam gambar yang dimuat Ahmad Zahid sekali gus menepis spekulasi segelintir pihak bahawa terdapat pergolakan dalam parti keramat Melayu tersebut.

“Alhamdulillah. Kami bertemu pagi ini. Doakan kami diberikan kekuatan, ketabahan, kecekalan serta dipermudahkan segala urusan kami dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa serta negara,” katanya ringkas.

Pada 18 Disember lalu, Ahmad Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO dan menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya, Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat.

Semalam, selepas beberapa bulan bercuti, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan kembali aktif memimpin UMNO dan memulakan tugasnya walaupun terdapat banyak rintangan. – UTUSAN ONLINE