Nombor Plat ‘TMJ’ Ditanya Di Parlimen

KUALA LUMPUR – Hari pertama mesyuarat kedua Parlimen tahun 2019 hari ini dijangka hangat dengan pelbagai isu termasuk satu soalan kepada Kementerian Pengangkutan berhubung sama ada nombor plat ‘TMJ’ telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pendaftaran kenderaan yang sah.

Soalan tersebut dikemukakan oleh Pang Hok Liong (PH-Labis) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada nombor plat ‘TMJ’ dan ‘RZ’ telah didaftarkan dengan pihak JPJ sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak.

Menurut soalan itu lagi, sekiranya tidak, sama ada kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat itu dibenarkan di atas jalan raya.

Berdasarkan kandungan Aturan Urusan Mesyuarat 1 Julai 2019 yang boleh diakses menerusi laman web Parlimen, soalan berkenaan bernombor 40 dan kebiasaannya soalan itu tidak sempat dijawab dalam sesi jawab lisan dan hanya diberikan berbentuk bertulis.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ahli Parlimen Port Dickson akan mengemukakan soalan pertama dalam sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

Beliau akan melontarkan soalan kepada Perdana Menteri untuk menyatakan kesan dan peningkatan yang telah dihadapi oleh Lembaga Tabung Haji (TH) setelah perubahan tampuk pengurusan tertinggi dan langkah penjimatan yang telah diambil sejak Mei 2018.

Selain itu, di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri terdapat usul bahawa sesuai dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan, semua Ahli Dewan Rakyat hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Bahawa Akuan Berkanun tersebut hendaklah dikemukakan kepada Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul ini disetujukan dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dan bahawa senarai nama Ahli Dewan Rakyat yang telah mengisytiharkan harta hendaklah dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta Ahli Dewan Rakyat tersebut sahaja yang akan dipaparkan di portal tersebut selama tempoh tiga bulan dari tarikh penerimaan Akuan Berkanun oleh SPRM,” menurut kandungan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Selain itu, Ahli Parlimen Sandakan daripada DAP mewakili Pakatan Harapan (PH), Vivian Wong Shir Yee akan mengangkat sumpah pada awal sesi selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen tersebut pada Mei lalu. – UTUSAN ONLINE