Pemimpin UMNO Sambut Baik Zahid Kembali Bertugas

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO menyambut baik pengumuman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas bermula hari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, saf parti akan diperkukuhkan lagi dengan keputusan Ahmad Zahid tersebut.

“Beliau pastinya akan terus bekerja sebagai pasukan dibantu Timbalan Presiden, naib-naib Presiden serta Ahli Majlis Tertinggi (MT),” tulisnya di laman Twitter hari ini.

Sementara itu, Ahli MT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan di laman Twitternya turut mengucapkan selamat kembali bertugas kepada Ahmad Zahid.

“Datuk Seri Ahmad Zahid memang Presiden UMNO yang dipilih secara sah oleh perwakilan. Maka itu teruskan laksana tanggungjawab yang diamanahkan.

“Mengenai segala tuduhan, serah kepada mahkamah. Masih tak salah dan mesti dibicarakan dengan adil,” tulisnya.

Ahmad Zahid membuat pengumuman kembali bertugas sebagai Presiden UMNO ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun hari ini.

Katanya, keputusan tersebut dibuat memandangkan hari ini genap setahun beliau dipilih sebagai Presiden UMNO oleh perwakilan daripada 191 bahagian. – Sinar Harian