Pusat Tahanan Xinjiang: Mat Sabu Mahu Penjelasan Mujahid

SUNGAI BULOH – Penjelasan lanjut daripada Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berhubung isu berita palsu berkaitan etnik Islam Uighur di China yang dikaitkan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan dari Menteri Agama berhubung isu itu.

“Saya setakat ini belum dapat kenyatan yang sebenar dari Mujahid.

“Jadi saya nak bincang dulu dengan Mujahid mendapatkan penjelasan tentang kenyataannya sama ada ia benar atau ada ditambah sana sini,” katanya dalam sidang media di Kem Sungai Buloh hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Kota Raja itu merangkap Penaung Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (KT) hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-54 institusi itu di Dewan PERHEBAT di sini yang turut dihadiri Mejar Jeneral (B) Datuk Zulkiflee Mazlan.

Mujahid sebelum ini berkongsi dalam Facebook tentang lawatannya ke ‘Pusat Latihan dan Vokasional bagi masyarakat Uighur istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang.

Mujahid didakwa berkata, pusat itu menjalankan aktiviti latihan perindustrian seperti menjahit dan mengakhiri kenyataannya dengan #RahmatanLilAlamin.

Mengulas mengenainya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan Mujahid sebagai memalukan umat Islam dan negara dan menunjukkan betapa terbelakangnya kerajaan Pakatan Harapan berkaitan isu hak asasi minoriti Islam di Xinjiang.

Katanya, tidak ada istilah Pusat Lagtihan di Xinjiang sebaliknya concerntration camp yang mempunyai satu tujuan iaitu menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan Uighur, Kazakh, Tajik dan lain lain.

“Penggunaan terma ‘pusat latihan’ adalah endorsement kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang selain Mujahid menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu dari China ketika berucao di Beijing Foreign Studies University,” tegasnya.